mutakhir

Pendaki sesat 2 hari di Gunung Berembun ditemui

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Tiga pendaki yang sesat di Gunung Berembun di Jalan Pantai, Nilai, sejak Sabtu lalu ditemui selamat, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohammad Idris berkata, semua mangsa terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an dijumpai di puncak gunung berkenaan pada 3.45 petang semalam, sebelum dibawa keluar pada 1.45 pagi tadi.

Katanya, maklumat awal mengenai kejadian itu diterima menerusi panggilan telefon seorang daripada pendaki 11.30 malam Sabtu lalu dan anggota mencari dan menyelamat (SAR) terus digerakkan.

"Mangsa dilaporkan tersasar kira-kira 10 kilometer dari trek pendakian asal dan dibawa turun dari ketinggian 1,080 meter dari puncak gunung, sebelum diberikan rawatan awal akibat keletihan.

"Mereka berada dalam keadaan selamat dengan mangsa wanita mengalami kekejangan dan kecederaan pada kaki," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi SAR membabitkan seramai 25 anggota termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan ditamatkan sepenuhnya pada 2 pagi tadi, " katanya.

Selain lokasi tumpuan aktiviti mendaki, Gunung Berembun juga antara lokasi pelancongan di negeri ini yang berkonsepkan agropelancongan.

Disiarkan pada: December 14, 2020 @ 12:16pm
d