mutakhir

Terjun sungai selepas bergaduh

Oleh Mohd Roji Kawi

Simunjan: Lelaki yang melarikan diri dan terjun ke dalam Sungai Batang Sadong di pangkalan feri Sungai Buloh, di sini, selepas bergaduh dengan lelaki lain, dikhuatiri lemas dibawa arus deras, malam tadi.

Kejadian pada 9 malam itu disaksikan beberapa pemancing yang berada di pangkalan feri berkenaan dan mereka cuba menyelamatkan lelaki terbabit, namun gagal.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.26 malam.

Beliau berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu daripada beberapa saksi.

"Selepas itu operasi pencarian dijalankan di tebing sungai berdekatan pangkalan feri itu dan hanya kesan tapak kaki ditemukan di kawasan itu, manakala mangsa tidak ditemukan," katanya.

Beliau berkata, enam orang awam turut membantu mencari lelaki terbabit, namun keadaan gelap menyukarkan usaha mengesannya.

Disiarkan pada: February 12, 2021 @ 12:26pm
d