mutakhir

Projek tebatan banjir Taman Botani Perdana dijangka siap hujung tahun

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Projek tebatan banjir bagi mengawal dan mengurangkan risiko banjir kilat di sekitar Jalan Tuanku Abdul Halim (Jalan Duta) di sini, dijangka siap pada hujung tahun ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, projek terletak di Taman Botani Perdana yang mula dibina sekitar 2018 itu, sedang giat dilaksanakan dengan status hampir 60 peratus siap.

"Saya juga ada minta pihak pemaju buat kajian, agar sistem (tebatan banjir) yang digunakan turut dapat membantu memperbaiki dan meningkatkan kualiti (saliran dan air) tasik, khususnya di Taman Botani Perdana ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di taman awam itu, hari ini.

Beliau berkata, projek membabitkan kolam tadahan bawah tanah itu juga bakal dilengkapi dengan landskap yang berfungsi sebagai kawasan rekreasi.

Dalam pada itu Annuar berkata, pihaknya juga merancang untuk menaik taraf persekitaran Taman Botani Perdana antaranya infrustruktur menghubungkan KL Sentral, yang merupakan hub utama pengangkutan awam ke taman awam itu, bagi kemudahan orang ramai.

"Kita juga rancang untuk bangunkan 'Garden City' di kawasan sekitar Jalan Cenderasari untuk melengkapi Taman Botani Perdana menjadi lebih cantik dan terancang," katanya.

Disiarkan pada: March 14, 2021 @ 3:42pm
d