mutakhir

Amirul Danish jejak kaki ke sekolah

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Ketika kanak-kanak lain memasuki alam persekolahan pada usia tujuh tahun, Mohammad Amirul Danish pula hanya dapat merasai pengalaman itu pada usia lapan tahun akibat kemiskinan.

Anak sulung daripada dua beradik itu berpeluang belajar di Sekolah Kebangsaan Telok Kechai, Kuala Kedah hari ini selepas dibantu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) Kuala Kedah.

Yang Dipertua GPMS Kuala Kedah, Amirul Syahir Musa berkata, pihaknya mendapat kerjasama yang baik daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah untuk mendaftar Mohammad Amirul di sekolah berkenaan selepas membuat permohonan bulan lalu.

"Sebelum ini kita pernah membantu keluarga Amirul yang hanya menyewa di rumah kecil. Melihat keadaan keluarga ini yang agak daif, kami membantu dengan menyerahkan barang elektrik untuk kemudahan keluarga ini.

"Selain itu, kami juga menyediakan kelengkapan sekolah untuk kanak-kanak ini. Kami akan pantau adik Amirul dari semasa ke semasa supaya dia tidak lagi tercicir dalam pelajaran," katanya.

Sementara itu, Amirul berkata, dia bangun awal hari ini kerana bersemangat ke sekolah kali pertama.

Katanya, walaupun rasa agak kekok tapi dia sangat berharap dapat menyesuaikan diri dengan rakan baru di sekolah.

"Saya rasa seronok dan bersyukur dapat sekolah dan jumpa kawan baru, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk jadi polis bila besar nanti," katanya yang ditempatkan ke kelas tahun dua di sekolah itu.

Bagi bapa Amirul, Mohd Faizuan Mansor, 36, dia bersyukur dan sebak dapat melihat anaknya ke sekolah.

"Terima kasih kepada GPMS, JPN dan guru-guru SK Telok Kechai kerana membantu memudahkan urusan kami sekeluarga, saya terharu ramai insan yang peduli dengan nasib kami sekeluarga," katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2021 @ 4:30pm
d