Eropah

Pegang sotong 'pembunuh'

Oleh Agensi

London: Seorang pelancong terselamat selepas haiwan yang dipegang untuk bergambar dikenal pasti antara haiwan paling berbahaya di dunia.

Pengguna TikTok, @Kaylinmarie21 berkongsi video dia memegang sotong kurita kecil bersaiz lebih kecil daripada tapak tangan dengan badan coklat dan lingkaran hitam ketika berada di Bali, Indonesia.

Portal Mirror melaporkan, selepas bergambar dengan makhluk itu, dia membuat carian dalam talian dan terkejut apabila mengetahui sotong kurita itu mampu membunuh 26 manusia dengan bisanya.

Lebih menakutkan, orang ramai mungkin sama sekali tidak menyedari kurita itu mampu menggigit mereka hingga mati.

Berkongsi maklumat dalam talian, "Kurita cincin biru, walaupun bersaiz kecil tetapi bisanya mampu membunuh 26 manusia dewasa dalam beberapa minit.

"Walaupun gigitan kecil dan tidak menyakitkan tetapi ramai mangsa tidak menyedari mereka boleh sesak nafas dan lumpuh, tidak ada penawar bagi bisanya," katanya.

Katanya, menerusi cariannya di Ocean Conservancy mengatakan, racun haiwan itu mampu menyekat isyarat saraf ke seluruh badan hingga menyebabkan kebas otot.

"Gejala lain termasuk loya, kehilangan penglihatan dan deria serta keupayaan motor.

"Pada akhirnya, itu akan menyebabkan kelumpuhan otot termasuk yang diperlukan manusia untuk bernafas menyebabkan saluran nafas tersekat," katanya.

Video di TikTok itu ditonton lebih 2.6 juta kali sebagai pengetahuan kepada orang ramai.

Disiarkan pada: March 24, 2021 @ 6:31am
d