Bola Sepak

Pogba bayar parkir Rolls-Royce hampir RM32,000

Oleh Agensi

London: Paul Pogba akhirnya berjaya mendapatkan kembali kereta mewah Rolls-Royce miliknya berharga £300,000 (RM1.7 juta) selepas ia diletakkan di parkir kenderaan polis selama berbulan-bulan.

Bintang Manchester United itu terpaksa membayar caj penyimpanan berjumlah £5,500 (RM31,400) selepas tidak menuntut kereta itu selama 270 hari.

Pogba, 28, ditahan ketika memandu kereta mewah itu berhampiran Lapangan Terbang Manchester, Jun lalu kerana ia menggunakan nombor pendaftaran Monaco.

Pemenang Piala Dunia itu menyaksikan keretanya perlu ditunda dan dia perlu membayar £150 (RM859) untuk kos tunda.

Dia juga didenda £220 (RM1,260) selain perlu membayar kos sebanyak £85 pound (RM487) kepada Mahkamah Majistret Tameside.

Namun dia hanya menuntut keretanya awal bulan lalu dan dikesan memandu kereta terbabit untuk ke rumahnya di Hale, Cheshire dengan masih menggunakan nombor pendaftaran Monaco.

Sumber berkata 'sangat menakjubkan apabila memikirkan Paul mengambil masa yang lama untuk menuntut semula keretanya.'

"Itu adalah kereta edisi terhad yang sudah pasti diinginkan semua orang.

"Tetapi akhirnya ia berhabuk kerana Paul mengambil masa yang begitu lama untuk melengkapkan dokumen yang diperlukan," katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2021 @ 11:52pm
d