mutakhir

40 penuntut asnaf KUPD terima komputer riba

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Menyedari keperluan golongan kurang bernasib baik, TH Travel & Services Sdn Bhd tampil menyampaikan sumbangan kepada 40 penuntut asnaf dari Kolej Uniti Port Dickson (KUPD), Negeri Sembilan pada 23 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, sumbangan itu adalah hasil wang zakat syarikat dan sebahagian usaha dilakukan bagi melaksanakan aktiviti kelestarian korporat.

Menurutnya, matlamatnya adalah membantu meningkatkan kualiti hidup terutama kepada penuntut asnaf yang terpilih.

"Semoga penyampaian sumbangan itu dapat meringankan beban serta memudahkan urusan penuntut dalam sesi pembelajaran dalam norma baru seterusnya memajukan diri demi agama, bangsa dan negara.

"Ini adalah satu tanda keprihatinan bahawa golongan yang tidak berkemampuan sentiasa diberi perhatian," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KUPD Amir Hamzah Md Isa.

Sementara itu, Zulkifli berkata, penyampaian sumbangan sudah dilakukan di beberapa negeri lain.

"Antaranya Johor, Pahang dan Perak. Ia akan diteruskan di negeri lain pula selepas ini," katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2021 @ 5:16pm
d