mutakhir

Sultan Terengganu berkenan solat sunat Aidilfitri bersama penduduk [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Kira-kira 120 penduduk termasuk ahli jawatankuasa masjid mengambil peluang menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini, hari ini.

Turut berangkat adalah Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Zainal Abidin.

Mengiringi baginda berdua adalah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam); Datuk Osman Muda dan Mufti Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron.

Solat sunat Aidilfitri dan khutbah disampaikan Dr Mohamad Sabri.

Solat sunat Aidilfitri hari ini diadakan mengikut normal baharu, apabila tiada aktiviti bersalam dan jamuan diadakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semalam.

Sebaik selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri, Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Ismail terus berangkat pulang serta tiada program menziarahi makam diraja diadakan seperti dua tahun lalu.

Sementara itu, tinjauan di beberapa masjid dan surau mendapati jemaah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk melakukan penjarakan sosial, melakukan imbasan suhu badan selain tidak bersalam dan berhimpun selepas menunaikan solat.

Disiarkan pada: May 13, 2021 @ 10:44am
d