Bola Sepak

Liverpool makin hampir ke Liga Juara-Juara

Oleh AFP

Burnley: Liverpool mara ke kelompok empat teratas kali pertama sejak Februari lalu selepas menang 3-0 di Burnley awal pagi tadi bagi mencerahkan peluang skuad Jurgen Klopp layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Roberto Firmino dan Nathaniel Phillips meledak jaringan pada kedua-dua babak sebelum Alex Oxlade-Chamberlain melengkapkan kemenangan dua minit sebelum tamat perlawanan bagi memastikan Reds memintas Leicester di tangga keempat dengan perbezaan jaringan.

Kemenangan ke atas Crystal Palace pada Ahad ini di hadapan jumlah penonton paling ramai di Anfield sejak mereka muncul juara England musim lalu akan memastikan tempat dalam kelompok empat teratas.

"Kami akan mendapat sokongan 10,000 penonton di Anfield, saya tak sabar," kata Klopp.

"Ia seperti separuh akhir yang mesti dimenangi dan kami melakukannya. Tiada apa diputuskan tetapi kami berjaya memperbaiki posisi dan kami berada di final. Itu yang kami perlukan."

Leicester kekurangan empat gol di belakang dan perlu mengatasi jaringan Liverpool apabila menerima kunjungan Tottenham di King Power.

Pasukan di tangga ketiga Chelsea yang satu mata di hadapan kedua-dua pencabarnya itu berkunjung ke Aston Villa pada hari terakhir kempen.

Liverpool kini menang empat aksi liga berturut-turut buat kali pertama dalam musim sukar yang dihantui krisis kecederaan tonggak utama.

Mereka memerlukan jaringan sensasi penjaga gol Alisson Becker pada lewat perlawanan ketika membenam pasukan corot West Brom, Ahad lalu.

Sementara itu, Tottenham berdepan misi sukar layak ke Liga Europa selepas tewas 1-2 di tempat sendiri kepada Aston Villa dan terpaksa menunggu sehingga ke aksi terakhir musim ini untuk menentukan nasib mereka.

Kekalahan kedua dalam tiga aksi terakhir menyebabkan mereka terperosok di tangga ketujuh, sama mata dengan pasukan di tangga kelapan Everton dan tiga mata di belakang West Ham yang berada di tempat keenam.

Mereka perlu menewaskan Leicester sambil berharap West Ham tewas kepada Southampton bagi memintas pencabar London itu berdasarkan perbezaan jaringan.

West Ham pula semakin hampir menggenggam tiket Liga Europa selepas menewaskan West Brom 3-1.

Disiarkan pada: May 20, 2021 @ 7:29am
d