Afrika

Malawi bakar hampir 20,000 dos vaksin Covid-19 tamat tempoh

Oleh Agensi

Lilongwe: Pihak berkuasa di Malawi membakar 19,610 dos vaksin Covid-19 AstraZeneca yang sudah tamat tempoh.

BBC melaporkan langkah itu bagi memastikan keselamatan orang awam.

Ia menjadikannya negara pertama di benua Afrika yang secara terbuka berbuat demikian

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini menggesa negara-negara supaya tidak memusnahkan dos vaksin yang tamat tempoh, tetapi kini mengubah pendirian.

Pengambilan vaksin di Malawi adalah rendah dan petugas kesihatan berharap tindakan kerajaan itu akan meningkatkan keyakinan orang ramai.

Daripada jumlah penduduknya sebanyak 18 juta orang, negara itu merekodkan 34,232 kes positif Covid-19 dengan 1,153 kematian.

Malawi menerima 102,000 dos vaksin AstraZeneca daripada Kesatuan Afrika pada 26 Mac dan menggunakan hampir 80 peratus daripadanya.

Namun, tarikh luput pada dos label itu adalah 13 April dan pegawai berkata, masa tidak mencukupi untuk menggunakan semuanya.

Jadi, menerusi proses setengah jam, pihak berkuasa memusnahkan ribuan dos vaksin itu.

Disiarkan pada: May 20, 2021 @ 1:24pm
d