Bola Sepak

Ini hari terindah dalam hidup saya - Fiola

Oleh AFP

Budapest: "Ini adalah hari paling indah dalam hidup saya," kata pemain Hungary, Attila Fiola selepas menjaringkan gol yang mengikat Perancis 1-1 pada aksi Kumpulan F Euro 2020 di Budapest, hari ini.

Fiola menggamatkan penyokong yang memenuhi stadium apabila menjaringkan gol pendahuluan pada masa tambahan babak pertama.

Bagaimanapun, Antoine Griezmann menyamakan kedudukan pada minit ke-66 bagi mengelakkan juara dunia itu tewas perlawanan kompetitif pertama sejak Jun 2019.

"Kami mendapat keputusan yang hebat, saya berbangga untuk pasukan dan penyokong yang mencipta suasana menakjubkan hari ini," kata Fiola.

"Kami menunjukkan mampu bermain dengan berani, lebih banyak menyerang berbanding ketika melawan Portugal dan ini adalah hari yang luar biasa."

Perancis akan terus berada di Budapest bagi perlawanan terakhir bertemu Portugal, manakala Hungary bertolak ke Munich untuk bertemu Jerman dengan harapan untuk layak ke pusingan kalah mata dalam dua kejohanan berturut-turut.

Disiarkan pada: June 20, 2021 @ 12:53am
d