mutakhir

Maut tertimbus runtuhan batu

Oleh Juwan Riduan

Ranau: Lelaki warga asing maut selepas dapur rumahnya ditimpa runtuhan batu di Kampung Pinousuk, Kundasang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa, Junaidi Gangka, 55, dikatakan sedang berehat bersama isteri di dapur berkenaan.

Bagaimanapun, sebaik runtuhan berlaku, hanya isteri mangsa sempat melarikan diri bersama dua anak berusia 18 dan 6 tahun, manakala mangsa terperangkap.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, mangsa yang tertimbus dikeluarkan dengan bantuan beberapa pekebun.

Katanya, mangsa dibawa untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik tiba di Hospital Ranau.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya di sini, hari ini.

Simiun berkata, pihaknya sudah melawat lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan memberi amaran kemungkinan kejadian runtuhan berulang lagi.

Katanya, penduduk dinasihatkan supaya berwaspada disebabkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Disiarkan pada: June 21, 2021 @ 10:30am
d