utama

TaQY permudah ibadah korban [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Umat Islam boleh menunaikan ibadah korban dengan modal rendah menerusi Tabung Ibadah Qurban yang diperkenalkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) atau TaQY.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, pihaknya memperkenalkan kemudahan itu pada 2011 dan sudah membantu ramai orang menunaikan ibadah korban tanpa perlu mengeluarkan belanja besar sekali gus.

Katanya, menerusi platform TaQY, umat Islam boleh mendaftar untuk korban secara tabungan sehingga mencapai nilai yang mencukupi untuk ibadah dilaksana.

"Dengan jumlah serendah RM10 atau RM20, bergantung kepada keupayaan kewangan individu terbabit, mereka boleh menyertai korban yang dianjurkan.

"YaPEIM menyediakan peluang untuk masyarakat menyimpan secara berdikit-dikit. Tidak perlu tunggu sehingga ada RM700 untuk berkorban," katanya ketika ditemui pada Sesi Serahan Daging Korban YaPEIM di ibu negara, semalam.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Parihah berkata, sehingga kini, 259,162 orang menyertai TaQY dengan 208,806 penabung dewasa dan 50,356 penabung kanak-kanak.

Menurutnya, YaPEIM mengadakan program korban di seluruh negara melalui infaq korban, wakalah dan pemprosesan untuk manfaat penerima, antaranya masjid, surau, komuniti masyarakat, kampung Orang Asli dan pusat pendidikan.

Mengenai korban pada Aidiladha ini, katanya, sebanyak 297 ternakan disembelih di seluruh negara dan ia diuruskan Pusat Pentadbiran Negeri YaPEIM.

"Alhamdulillah, hari ini (semalam) program dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan ia sangat istimewa kerana YaPEIM mempunyai pusat penyembelihan daging di Kampung Attap, Kuala Lumpur yang mempunyai ciri-ciri lengkap untuk ibadah korban," katanya.

Sementara itu, wakil penerima Muhammad Firdaus Ishak berkata, pihaknya menerima 22 lembu serta lapan kambing untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

"Kira-kira 450 penduduk di sekitar Surau Mutiara Damansara akan menerima daging korban ini," katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2021 @ 8:01am
d