mutakhir

KPDNHEP rampas 112,350 unit pelitup muka tiruan

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor merampas 112,350 unit pelitup muka Neutrovis tiruan, dalam tiga serbuan berasingan di sini, semalam.

Pengarahnya, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, rampasan bernilai RM60,669 itu hasil serbuan di tiga premis sekitar Taman Sentosa dan Tebrau.

Katanya, operasi khas bermula 2 petang itu membabitkan 10 penguat kuasa bersama wakil pemilik cap dagang, dan digerakkan susulan aduan diterima syarikat itu.

"Kesemua premis disyaki menjadikan rumah sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti penyimpanan serta pengedaran stok pelitup muka itu.

"Lima individu yang mengaku sebagai pekerja dirakam percakapan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Hairul berkata, tindakan diambil mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu menggunakan cap dagangan palsu ke atas barangan bagi tujuan perdagangan, yang mana sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM250,000 dan kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000 bagi syarikat/ perbadanan.

Katanya, individu pula boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM 250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

"Peniaga juga diberi amaran supaya tidak menjalankan urus niaga menggunakan perihal dagangan palsu atau barangan tiruan," katanya yang memberitahu pihaknya akan terus bekerjasama dengan pemilik cap dagang bagi melindungi hak pengguna dan harta intelek industri.

Disiarkan pada: July 25, 2021 @ 4:26pm
d