mutakhir

Sorok ketum dalam plastik hitam, elak dikesan ketika malam [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Bukit Kayu Hitam: Sindiket penyeludupan dikesan membungkus guni berisi daun ketum dengan plastik hitam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, terutama pada waktu malam.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am Bidor Perak Superintendan Azhar Hashim berkata, hasil pemantauan yang dilakukan pada 2.30 pagi hari ini mengesan 10 guni yang dibalut plastik hitam untuk mengaburi pihak berkuasa.

Beliau berkata, 10 guni mengandungi daun hijau disyaki daun ketum disimpan kawasan Kampung Kolam, Padang Kolam, Padang Besar di kawasan semak berhampiran dengan jalan keselamatan untuk menunggu masa diseludup ke negara jiran.

"Jumlah keseluruhan daun ketum sebanyak 300 kilogram (kg) dirampas dengan anggaran RM9,000.

"Ini adalah rampasan kelima yang dilakukan sejak empat hari lalu bermula 23 Julai lalu, " katanya pada sidang media di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, di sini, hari ini.

Terdahulu, Azhar turut melakukan pemantauan udara bersama Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia Pangkalan Semenanjung diketuai juruterbang Superintendan Muhamad Jefri Jaafar dan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Rodzi Abu Hassan.

Pemantauan udara dilakukan di sepanjang kawasan pagar sempadan negara Malaysia-Thailand menggunakan helikopter AW139 Udara 40.

Disiarkan pada: July 27, 2021 @ 3:48pm
d