mutakhir

Bomba bantu 'kejarkan' lelaki 200 kg ke hospital

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Khidmat anggota bomba terpaksa digunakan bagi membantu membawa pesakit obesiti dengan berat badan 200 kilogram (kg) yang mengalami sesak nafas ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, usaha membawa turun mangsa lelaki berusia 34 tahun dari tingkat 14 Flat Hiliran, di sini, mengambil masa 30 minit.

Katanya, pihaknya menerima panggilan daripada isteri mangsa jam 7.05 pagi sebelum 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, tindakan awal dilakukan segera dengan memberi bantuan pernafasan daripada tangki oksigen mudah alih kepada mangsa.

"Anggota kemudian menurunkan mangsa dengan cara memapah sebelum menggunakan lif," katanya, hari ini.

Rozizah berkata, mangsa kemudian dibawa ke kenderaan ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibawa ke HSNZ.

Katanya, sebaik tiba di HSNZ, mangsa sekali lagi diusung untuk dipindahkan ke pengusung hospital dan operasi selesai jam 7.21 pagi.

Disiarkan pada: August 7, 2021 @ 7:15pm
d