mutakhir

8.9 tan makanan ikan dari China dirampas

Oleh Ruwaida Md Zain

Pelabuhan Klang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas sejumlah 8,938 kilogram (kg) makanan ikan dari negara China, di pintu masuk Pelabuhan Klang Barat, di sini, kelmarin.

Maqis Selangor dalam satu kenyataan berkata, kontena yang membawa makanan ikan itu ditahan dalam pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa Maqis Selangor, kira-kira 5 petang.

"Pemeriksaan yang dilakukan penguat kuasa mendapati, makanan ikan yang diproses itu tidak mempunyai permit import sah yang dikeluarkan oleh Maqis.

"Siasatan mendapati, makanan ikan yang tiba di negara ini sejak 31 Julai lalu itu dibawa masuk untuk kegunaan sendiri dan pasaran tempatan oleh sebuah syarikat tempatan.

"Kesemua barang dagangan seberat 8,938 kg itu dianggarkan bernilai RM98,466.73 ditahan untuk tindakan lanjut," menurut kenyataan itu.

Maqis berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: August 14, 2021 @ 8:19am
d