mutakhir

Tragedi kepala air: Bomba hadapi kesukaran cari dua mangsa hilang [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Yan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghadapi kesukaran dalam misi pencarian dua mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Titi Hayun dan Salak Denai, di sini.

Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon berkata, masalah dihadapi pasukan penyelamat ialah kepala air itu sangat besar sehingga mampu membawa bongkah batu besar serta menghanyutkan kayu balak besar.

Beliau berkata, bongkah batu dan kayu balak besar itu menyebabkan ia tersangkut di beberapa tempat dan menyukarkan usaha pencarian mangsa dilakukan.

"Selain itu, kami juga menghadapi kesukaran masuk ke tempat pencarian kerana jaraknya agak luas dan faktor kawasan yang kita cari itu lumpur agak tebal malah pada masa sama ada beberapa tempat tidak stabil lagi.

"Ada juga berlaku tanah jerlus malah bongkah batu agak besar dan sukar diangkat menggunakan tenaga manusia," katanya.

Sayani berkata, sekiranya anggota penyelamat dapat mengesan objek, mereka akan menandakan kawasan itu dan menggunakan khidmat jengkaut untuk mengangkut bongkah batu itu.

Beliau berkata, keadaan hujan lebat pada waktu petang turut menyukarkan usaha pencarian disebabkan paras air sungai makin meningkat.

"Selain itu, kita turut menggunakan aset dan logistik yang ada seperti helikopter Agusta AW189 milik JBPM, dron, dua anjing pengesan K-9 dan peralatan khas oleh pasukan STORM JBPM.

"Dalam pada itu, kami turut dibantu Pasukan STORM dari negeri lain seperti Selangor, Perak , Putrajaya dan Perlis selain kerjasama dari agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang, Ridwan Poniman dan Ku Shuib Ku Abdullah masih diteruskan pada hari keempat hari ini.

Disiarkan pada: August 21, 2021 @ 10:47am
d