mutakhir

Tanah Perkuburan Islam Senawang ditutup sementara

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang di sini, ditutup sementara serta-merta berikutan tapak sedia ada sudah penuh.

Jurucakap Majlis Bandaraya Seremban (MBS) ketika dihubungi berkata, penutupan itu mungkin akan mengambil masa sehingga projek tapak baharu yang terletak bersebelahan dengan tapak lama siap sepenuhnya.

"Ketika ini kawasan perkuburan yang baharu dan masih kosong itu belum boleh beroperasi dan apabila siap nanti, ia akan dibuka bagi urusan pengebumian.

"Buat sementara ini, semua urusan pengebumian jenazah dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale Seremban.

"Ketika ini MBS hanya buka untuk pengebumian jenazah di Ainsdale tapi bagi mereka yang hendak melakukan urusan itu di tempat lain seperti di kampung halaman atau sebagainya, itu terpulang hak masing-masing," katanya mengulas mengenai penutupan itu bagi mengelak kekeliruan orang ramai di sini, hari ini.

Tanah Perkuburan Islam Forest Height antara lokasi utama di daerah ini bagi urusan pengebumian jenazah yang disediakan MBS, yang dibuat secara sistematik dan profesional.

Disiarkan pada: September 25, 2021 @ 12:36pm
d