mutakhir

Polis kesan treler sebabkan kematian

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Polis giat mengesan pemilik kenderaan yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Kilometer 48 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan maut itu pada 8.30 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika penunggang motosikal dari arah Teluk Intan ke Klang telah bergesel dengan sebuah treler yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya.

"Akibat kemalangan itu, mangsa terjatuh dan digilis treler terbabit. Mangsa maut di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, orang ramai diminta menghubungi balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Norasyikin Roslan di talian 010-2621743 atau 03-32891222.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: October 12, 2021 @ 6:08pm
d