mutakhir

Banjir di Kedah makin pulih

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Jumlah keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dua daerah di negeri ini menurun kepada 146 mangsa daripada 38 keluarga setakat jam 8 pagi hari ini.

Jumlah itu menurun lagi berbanding 161 mangsa daripada 36 keluarga seperti yang dilaporkan setakat jam 8 malam tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di daerah Kubang Pasu masih kekal menempatkan seramai 22 mangsa daripada empat keluarga.

Beliau berkata, PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah di daerah Pendang pula menempatkan seramai 85 mangsa daripada 19 keluarga manakala PPS di Dewan Cenderawasih pula menempatkan seramai 39 mangsa daripada 15 keluarga.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa di Pendang adalah seramai 124 mangsa daripada 34 keluarga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Muaz berkata, paras air sungai yang semakin surut menyebabkan keadaan banjir di negeri semakin pulih dan ramai mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing

Disiarkan pada: November 13, 2021 @ 9:23am
d