Bola Sepak

Kehadiran cahaya mata suntik semangat Baddrol

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Baddrol Bakhtiar mendapat suntikan semangat baharu buat dirinya selepas menerima kelahiran anak keduanya awal pagi tadi menjelang perlawanan Kedah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan suku akhir kedua Piala Malaysia malam ini.

Berita kelahiran anak keduanya itu dimaklumkan melalui laman media rasmi KDA FC turut memuat naik ucapan tahniah dan kesyukuran buat pemain yang digelar legenda Kedah itu.

"Tahniah kepada ketua pasukan KDA FC, Baddrol Bakhtiar yang dikurniakan cahaya mata kedua awal pagi tadi.

"Semoga dengan kelahiran anak kedua, beliau akan menambahkan lagi kebahagiaan rumah tangga dan didoakan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

"Tahniah daripada KDA FC!." menurut kenyataan KDA FC itu.

Baddrol yang sudah sinonim dengan gelaran BB7 itu turut berkongsi berita gembira itu di media sosial peribadinya apabila memaparkan gambar sebuah beg pakaian yang menunjukkan beliau sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Johor Bahru sebaik urusan berkaitan kelahiran anak keduanya itu di Kedah selesai.

"Bismillah.. Baddrol Kini 'OTW' (dalam perjalanan) dari Penang ke JB untuk perlawanan suku akhir kedua malam ni. Demi Hijau Kuning.

"Doakan kejayaan pasukan KDA FC malam ini, rakyat Kedah semua." katanya.

Kedah kini memburu misi penting di Stadium Sultan Ibrahim menentang JDT untuk layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Aman, Ahad lalu.

Disiarkan pada: November 18, 2021 @ 5:36pm
d