mutakhir

Kasihnya Sultan Johor kepada rakyat

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berkenan mencemar duli buat hari kelima berturut-turut untuk membantu dan melihat keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Sultan Ibrahim, sejak Sabtu lalu, berangkat ke pelbagai PPS di Segamat, Kota Tinggi dan Batu Pahat serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir selain meninjau kemudahan di setiap PPS berkenaan.

Baginda turut berkenan mencemar duli memandu sendiri ke setiap PPS tanpa mengira faktor cuaca serta waktu demi rakyat.

Jam 1.45 tengah hari tadi, baginda berangkat ke Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Anam di sini, yang menempatkan 229 mangsa daripada 73 keluarga.

Turut mencemar duli anakanda baginda, Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jeffri dan Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar Ibrahim.

Hadir sama Pegawai Daerah Segamat Nasri Md Ali dan Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Bahrin Mohd Noh.

Sultan Ibrahim kemudiannya melawat PPS SK Tambang yang menempatkan 423 mangsa daripada 125 keluarga.

Tiga ratus kotak makanan kurniaan baginda menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) turut disampaikan kepada mangsa banjir di kedua-dua PPS berkenaan.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan juadah KFC menerusi YSIJ dengan kerjasama QSR Brands (M) Holdings Bhd kepada mangsa banjir.

Disiarkan pada: January 5, 2022 @ 4:33pm
d