mutakhir

Juruteknik TNB maut kereta terbabas rempuh kedai makan

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut selepas kereta dipandunya terbabas di Kilometer 59, Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Keroh, di sini, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian pada 3 pagi, mangsa Mohamad Fauzan Muhamad, 30, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu Toyota Vios dari arah Kota Bharu ke Kuala Lumpur dipercayai terbabas sendiri.

"Setibanya di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebuah kedai makan yang berada di tepi jalan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayat dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 8, 2022 @ 4:43pm
d