mutakhir

Bas bawa 21 jemaah umrah terbalik

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kuala Krai: Bas persiaran membawa 21 penumpang jemaah umrah hilang kawalan sebelum terbalik di Kampung Manek Urai Baru, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 6.45 pagi, tiga penumpang cedera dan menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, ketika kejadian, bas berkenaan bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Dataran Peladang, di sini, untuk menghantar jemaah yang pulang daripada menunaikan umrah.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, bas yang dinaiki jemaah umrah dari Kuala Krai membabitkan 11 wanita dan 10 lelaki itu terbabas sebelum terbalik.

"Bagaimanapun, kesemua mangsa selamat dan hanya tiga penumpang menerima rawatan pesakit luar," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, jalan di lokasi kejadian lurus dan tiada air bertakung, namun hujan lebat ketika kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2022 @ 12:07pm
d