mutakhir

Tun M akan turun kempen di Johor [METROTV]

Oleh Suzalina Halid

Tangkak: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan hasrat ingin turun berkempen sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ia dimaklumkan anaknya yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz.

Mukhriz berkata, atas sebab itu, beliau dan ahli keluarga lain menasihati Dr Mahathir supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengikuti nasihat pakar Institut Jantung Negara (IJN).

Menurut Mukhriz, Dr Mahathir terpanggil untuk turun ke Johor dan bukan sekadar menulis nukilan untuk pengundi.

"Kami sangat berhati-hati sebab faktor usia beliau yang meningkat 97 tahun dan baharu sahaja pulih dan menerima rawatan di IJN, tak 100 peratus lagi...dengan masalah Covid-19 lagi.

"Namun beliau nak sangat turun Johor...kami sebagai keluarga tentu nak suruh beliau berjaga-jaga.

"Namun beliau doktor, beliau pun tahu tahap keupayaannya sendiri. Kita sentiasa berbincang dengan pakar di IJN apa yang boleh dan tidak boleh dibuat," katanya.

Mukhriz berkata demikian kepada media selepas melawat Pasar Awam Tangkak bersama calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Tangkak, Muhammad Airel Zabridin.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang dijadual turun padang di Dun Machap bagi menghadiri program Aspirasi Johor bersama Tun Dr Mahathir Mohamad jam 2 petang, di Felda Air Hitam.

Disiarkan pada: March 3, 2022 @ 2:38pm
d