mutakhir

Penduduk mohon kerajaan cari kaedah selesai banjir di bandar Kemaman [METROTV]

Oleh Rosli Ilham

Chukai: Mangsa banjir di empat kawasan di bandar Kemaman memohon kerajaan mencari kaedah terbaik menyelesaikan masalah banjir yang melanda kawasan mereka.

Penduduk, Suhaimi Mat Dalang, 36, berkata, setiap kali tiba musim tengkujuh, kediaman mereka pasti dinaiki air malah penduduk terpaksa berpindah randah.

"Masalah yang membelenggu penduduk ini berlaku saban tahun dan lebih 10,000 mangsa banjir terpaksa menanggung kerugian besar.

"Kawasan yang sering ditenggelami air ialah Kampung Bukit Mentok Lama, Kampung Pengkalan Pandan, Kampung Tanjung dan Bukit Mentok Baru.

"Kami terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk membeli barangan elektrik serta perabot setiap kali selepas banjir melanda," katanya.

Menurutnya, punca utama banjir melanda kawasan itu ialah kerana sistem perparitan yang tidak sempurna dan cetek menyebabkan kesemua kawasan cepat dinaiki air.

"Keadaan Sungai Bukit Mentuk yang cetek menyebabkan air akan melimpah ke kawasan penduduk dengan cepat.

"Biarpun kami sudah lali dengan keadaan itu namun kami mengakui sangat letih terutamanya untuk membersihkan rumah selepas banjir," katanya.

Menurutnya, banjir kali ini sama besar sebagaimana yang melanda pada 2013 yang mana kediaman penduduk ditenggelami air sedalam kira-kira dua meter.

"Penduduk percaya, air yang berkumpul di kawasan Hulu Kemaman iaitu Air Putih dan Cerul akan mengalir ke bandar sebelum memenuhi penempatan kami," katanya.

Hasifah Bakar, 44, berkata, kerajaan perlu mencari penyelesaian termasuk mendalam dan melebarkan sungai, termasuk parit tanah.

Katanya, dia juga berharap lebih banyak longkang monsun dibina di kawasan yang difikirkan sesuai.

"Jika dibina banyak kemudahan ini, saya percaya air banjir ini dapat mengalir dengan sempurna ke sungai utama di Kemaman dan menyelamatkan penempatan kami daripada ditenggelami," katanya.

Banjir gelombang ke lima di Terengganu menyebabkan hampir 18,000 penduduk di tujuh daerah dipindahkan ke 87 pusat pemindahan sementara (PPS).

Disiarkan pada: March 9, 2022 @ 1:14pm
d