bisnes

Bantuan khas banjir untuk Sahabat Usahawan AIM

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Seramai 2,356 Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar (AIM), bagi Wilayah Selangor dan Kuala Lumpur menerima geran khas Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) yang jumlah keseluruhannya bernilai RM7,068,000, hari ini.

Menerusi program yang dilaksanakan serentak di empat lokasi iaitu di Shah Alam; Puchong; Kuala Selangor dan Kuala Langat itu, setiap usahawan menerima geran khas iaitu cek one-off (sekali bayar) bernilai RM3,000.

Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, bantuan banjir yang diusahakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar itu sangat membantu Sahabat Usahawan AIM yang sedang berusaha untuk bangkit semula susulan bencana banjir.

"Untuk keseluruhan jumlah Sahabat Usahawan yang terjejas akibat banjir adalah seramai 8,859 Sahabat yang membabitkan peruntukan yang akan disalurkan khusus untuk Sahabat AIM sahaja adalah sebanyak RM23.1 juta. "Kesemua penerima BBKM daripada Sahabat Usahawan AIM ini, sebahagian besarnya adalah usahawan informal iaitu peniaga gerai dan penjaja di tepi jalan yang mengalami kemusnahan secara keseluruhan yang mana gerai dan premis perniagaan hanyut dibawa banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Penyerahan Geran Khas Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Noh menyampaikan bantuan berkenaan kepada 921 penerima.

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad; Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Shabudin Yahaya dan Timbalan Pengerusi Lembaga AIM, Mohd Najib Mohd Noor.

Disiarkan pada: March 21, 2022 @ 6:06pm
d