Amerika Utara

'Kepala' Yakuza ditahan di AS

Oleh Reuters

New York: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menahan ketua sindiket jenayah Jepun atas tuduhan cuba mengedar dadah dan membeli pelbagai senjata termasuk peluru berpandu, kata pendakwa raya.

Pendakwa Raya Persekutuan di Manhattan berkata, Takeshi Ebisawa adalah antara ketua rangkaian jenayah Jepun dikenali sebagai Yakuza dan seorang pengkomplot dengan kumpulan pemberontak di Myanmar untuk membeli senjata serta peluru berpandu.

Senjata itu juga bertujuan untuk melindungi penghantaran dadah, menurut aduan jenayah yang dibuka pada Khamis.

Menurut pendakwa raya, Ebisawa merancang mengedar heroin dan methamphetamine di Amerika Syarikat.

"Dadah itu untuk diedar di lorong-lorong di New York, dan penghantaran senjata pula untuk puak (pemberontak) di negara yang tidak stabil," kata Damian Williams, Peguam AS untuk daerah selatan New York, dalam satu kenyataan.

Ebisawa, 57, dan tiga pengkomplot ditahan di Manhattan minggu ini atas tuduhan termasuk konspirasi pengimportan narkotik dan memiliki senjata api, kata pendakwa raya.

Peguam Ebisawa tidak segera menjawab permintaan untuk memberikan penjelasan berhubung kes anak guam mereka.

Setiap daripada empat pengkomplot itu berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Disiarkan pada: April 8, 2022 @ 12:35pm
d