Sukan Lain

Ramadan semarak semangat Siti Fatima

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur:Perjuangan akan tetap diteruskan biarpun pelari pecut wanita, Siti Fatima Mohamad sudah berusia 36 tahun.

Bagi Siti Fatima, angka bukanlah penghalang untuk dia memburu kejayaan dan kini tugas sebagai pelari senior menantinya untuk membantu kuartet 4x100 meter (m) meraih emas di temasya Sukan Sea Hanoi kelak.

Justeru bulan Ramadan ini, pelari yang akan membuat penampilan kelima di temasya Sukan Sea itu meneruskan latihan seperti biasa pada sebelah malam dengan jumlah intensiti ditingkatkan.

Pada sebelah siangnya, atlet kelahiran Johor itu akan menghabiskan masa berehat dan memasak juadah berbuka bersama rakan serumah.

"Kali ini program latihan agak berbeza sedikit disebabkan bulan depan Sukan Sea. Jadi latihan malam agak teruk dan perlu makan lebih sedikit untuk tambah tenaga.

"Macam saya Ramadan ini tidak banyak berbeza dengan Ramadan tahun sebelum ini. Ia bukan alasan untuk mengurangkan latihan atau lebih banyak berehat.

"Sebabnya saya sedar, saya perlu berusaha keras lagi. Saya mahu pastikan Sukan Sea kali ini memberikan kejayaan yang lebih besar buat pasukan dan negara," katanya yang memegang rekod dalam acara 4x100m bersama Nurul Faizah Asma Mazlan, S Komalam Shally dan Zaidatul Husniah Zulkifli.

Biarpun perlu berpuasa di siang hari, bulan Ramadan sentiasa dinantikan olehnya kerana inilah waktu dapat berbuka bersama rakan-rakan dan juga keluarga.

"Nikmat berbuka puasa bersama kawan-kawan dan keluarga ini lain macam rasanya. Tambah pula bila juadah itu dimasak bersama-sama. Hilang rasa letih," katanya yang merangkul dua pingat gangsa di temasya Sukan Sea dalam acara 4x100m.

Katanya, biarpun isu pemilihan pelari dalam kuartet hangat diperkatakan, bagi Siti Fatima dia tetap fokus dan tidak mahu memikirkan segala perkara yang timbul.

Ia kerana tugas atlet hanyalah memberikan yang terbaik untuk negara selepas diberi tanggungjawab.

Disiarkan pada: April 9, 2022 @ 7:53pm
d