mutakhir

Sindiket kini bawa Pati guna MPV mewah

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) kini dikesan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah untuk membawa masuk dan keluar melalui jalan tidak diwartakan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, pihaknya sudah mempunya maklumat berhubung modus operandi yang digunakan sindiket dan akan melalukan pemantauan serta berkongsi risikan bersama pasukan Cawangan Khas dan lain-lain Kontinjen.

"Kita mengesan kini sindiket didapati menggunakan kenderaan MPV mewah untuk membawa Pati dari sempadan," katanya ketika ditemui di Briged Tengah PGA, Cheras, di sini, hari ini.

"Mereka ini dikesan mengambil kesempatan dan sudah tidak melalui laluan tikus. Mereka guna laluan gajah naik kereta mewah.

"Ada sahaja ruang mereka akan lakukan penyeludupan masuk Pati, tetapi kita akan ambil tindakan," katanya.

Terdahulu Hazani menyaksikan Majlis Perbarisan dan Serah Terima Tugas Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Komander Briged Tengah PGA dan Komander Unit Tindakhas (UTK).

Sementara itu, Hazani berkata, tangkapan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasukan khas lain terhadap Pati turut meningkat.

"Minggu lalu berlaku peningkatan yang terbaru di Kelantan apabila kita menahan 13 warga Myanmar termasuk 'transporter,'" katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2022 @ 12:09pm
d