utama

Nicky Liow serah diri, akan didakwa esok

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Ahli perniagaan, Nicky Liow yang menjadi buruan sejak setahun lalu menyerah diri di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, pada jam 11 pagi, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pada masa ini Nicky, 34, berhadapan dengan lebih 20 kes berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLAFTA).

"Dia (Nicky) akan dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam esok untuk menghadapi sebanyak 26 pertuduhan.

"Sebelum ini pada 23 Mac lalu, Mahkamah Shah Alam, mengeluarkan waran tangkap ke atas Nicky atau Liow Soon Hee, untuk menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLAFTA," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razarudin berkata, sebelum ini siasatan berhubung Seksyen 130 V hingga Seksyen 130 ZB, Kanun Keseksaan bagi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) digugurkan oleh mahkamah.

Nicky diburu selepas Polis Johor mengadakan operasi dan serbuan berasingan di Puchong, Selangor, sebelum menahan 12 individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri.

Sindiket berkenaan sebelum ini disyaki terbabit dalam pelbagai jenis kes penipuan dalam talian.

Disiarkan pada: April 11, 2022 @ 6:18pm
d