utama

Kes Nicky Liow: Polis tidak lindungi sesiapa

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Siasatan terhadap Nicky Liow berhubung kegiatan jenayah terancang sudah dimulakan polis sejak 15 Mac tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, hasil siasatan sebanyak serbuan dijalankan di sekitar Selangor bagi menahan Nicky dan ahli kumpulannya.

Menurutnya, pada 9 April tahun lalu, seramai 15 ahli kumpulannya ditahan dan dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya termasuk Nicky yang dituduh secara 'in-absentia'.

"Pada 30 September Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas tanpa membebaskan Nicky bagi jenayah terancang ekoran permohonan Pejabat Peguam Negara (AGC) bagi menunggu siasatan membabitkan kesalahan penggubahan wang haram dilengkapkan.

"Peguam Nicky pada 23 Februari lalu memfailkan rayuan dan berjaya mendapat perintah dibebas dan dilepaskan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, pada 8 Mac, AGC memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan dan melepaskan Nicky.

Beliau berkata, berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi, peguam Nicky menghantar surat kepada polis menyatakan kesediaan anak guamnya menyerah diri.

"Pada 11 April, Nicky hadir menyerah diri di Pejabat JSJK Bukit Aman seterusnya ditahan.

"Polis tidak berunding dengan mana-mana pihak dan siasatan dibuat tidak melindungi sesiapa," katanya.

Hari ini, Nicky mengaku tidak bersalah atas 26 pertuduhan terbabit pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Disiarkan pada: April 12, 2022 @ 7:18pm
d