mutakhir

Aidilfitri 'mengejut', kaunter zakat 'diserbu' [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Pengisytiharan tarikh perayaan Aidilfitri yang disambut hari ini mencetuskan panik apabila kaunter kutipan zakat fitrah turut diserbu umat Islam, malam tadi.

Tinjauan di kaunter kutipan zakat di beberapa masjid utama sekitar Bandaraya Kuala Terengganu mendapati umat Islam sanggup beratur panjang untuk menunaikan kewajipan itu.

Umat Islam yang ke masjid untuk menunaikan solat sunat terawih terus 'menyerbu' ke kaunter kutipan zakat sebaik takbir raya selesai dilaungkan.

Tinjauan mendapati lebih 150 orang berbaris untuk membayar zakat fitrah di lima kaunter yang dibuka di ruang khas Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini.

Embong Jusoh, 56, dari Kampung Ladang di sini, berkata, dia terus ke kaunter disediakan di ruang khas di masjid itu.

"Kebiasaannya, kita membayar zakat fitrah sehari sebelum ketibaan Aidilfitri, tetapi terpaksa menjelaskan tuntutan itu selepas diumumkan Aidilfitri disambut esok (Isnin) dan bukannya Selasa," katanya.

Sementara itu, tinjauan dilakukan di Masjid Abidin di sini, juga mendapati lebih 500 orang menyerbu ke kaunter zakat fitrah untuk menjelaskan bayaran.

Disiarkan pada: May 2, 2022 @ 8:25am
d