mutakhir

Tahanan meninggal dunia dalam lokap dijangkiti Covid-19

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Punca kematian tahanan di lokap Balai Seri Alam, Johor Bahru, kelmarin adalah disebabkan radang paru-paru akibat dijangkiti Covid-19.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, bedah siasat terhadap tahanan berkenaan semalam mendapati tiada sebarang kecederaan.

"Bedah siasat di Hospital Sultan Ismail (HSI) itu mendapati mangsa positif Covid-19.

"Susulan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azri berkata, bagaimanapun pihaknya akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.

Kelmarin, Azri dilaporkan berkata, lelaki tempatan berusia 48 tahun itu yang ditahan atas kesalahan dadah ditemui lemah dalam lokap berkenaan.

"Pada jam 8.35 pagi, tahanan itu berada dalam keadaan lemah dan pegawai bertugas menghubungi Klinik Kesihatan Masai, Johor.

"Hasil pemeriksaan pegawai kesihatan mengesahkan tahanan itu meninggal dunia pada 9.35 pagi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 10, 2022 @ 2:52pm
    d