mutakhir

Lelaki maut rempuh lori, kereta terbakar

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Semenyih: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan ais di Kilometer 4 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) arah selatan, dekat sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih Mohamad Darul Azreen Md Desa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 6.59 pagi tadi.

"Seramai tujuh anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, kami dimaklumkan berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Preve serta sebuah lori membawa muatan ais.

"Kemalangan itu menyebabkan kereta terbabit terbakar di bahagian enjin. Pemandu kereta terbabit, Mohamad Nor Azam Osman berusia 33 tahun berjaya dibawa keluar oleh orang awam yang berada di lokasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Darul berkata, kereta terbabit yang terbakar kira-kira 30 peratus di bahagian enjin berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu lori terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Selepas memastikan keadaan di lokasi selamat serta melakukan kerja pembersihan, operasi itu ditamatkan 9.28 pagi tadi.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2022 @ 7:39pm
d