mutakhir

Terjun tingkat satu demi selamatkan diri

Oleh Erika George

Bintulu: Wanita berusia 23 tahun nekad terjun dari tingkat satu rumah demi menyelamatkan diri selepas kediaman di Taman Sri Pelabuhan itu terbakar malam tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, empat lagi ahli keluarga mangsa turut sempat menyelamatkan diri.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan mengenai kebakaran yang berlaku pada jam 11.11 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejurus sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan tingkat atas rumah berkenaan.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air dari pam jentera dan pili bomba.

"Selepas hampir setengah jam, api berjaya terkawal sepenuhnya pada jam 11.45 malam namun proses penyejukan dijalankan pasukan bomba bagi memastikan kebakaran berulang tidak berlaku," katanya.

Wan Kamarudin berkata, mangsa yang terjun dari tingkat satu kediaman terbabit diberikan bantuan oksigen sebelum dihantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

"Kebakaran yang memusnahkan keseluruhan struktur tingkat atas kediaman itu tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

"Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2022 @ 4:50pm
d