mutakhir

Kenaikan harga ternakan tidak jejas ibadat korban, aqiqah

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Kenaikan harga ternakan tidak menjejaskan keupayaan masyarakat Islam untuk melakukan ibadat korban dan aqiqah pada sambutan Aidiladha Ahad ini.

Difahamkan, harga ditetapkan penternak untuk korban dan aqiqah antara RM750 serta RM900 bagi setiap bahagian.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Dr Anum Man berkata, jumlah permit sembelihan ternakan korban dan aqiqah dikeluarkan sehingga semalam ialah 3,143.

Daripada jumlah itu, katanya, 1,305 permit sembelihan dikeluarkan untuk di luar rumah sembelih membabitkan 2,980 ternakan.

"Ia membabitkan 2,823 lembu, 24 kerbau dan 133 kambing. JPV turut meluluskan 891 permit pemindahan ternakan membabitkan 1,945 ekor lembu, 26 kerbau dan 19 kambing," katanya dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Anum berkata, semua ternakan yang akan disembelih untuk korban dan aqiqah sudah menjalani proses saringan kesihatan serta selamat untuk dimakan.

Berkaitan jumlah permohonan untuk sembelihan ternakan korban dan aqiqah di rumah sembelih diselia JPV, Dr Anum berkata, 130 ternakan akan disembelih di Rumah Sembelih (RS) Kuala Terengganu, RS Kemaman (15) dan 18 di RS Dungun manakala tidak permohonan diterima di RS Besut.

"JPV masih membuka permohonan permit untuk melakukan penyembelihan ternakan sempena sambutan Aidiladha sehingga esok," katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2022 @ 12:22pm
d