mutakhir

Jemaah haji terkandas, Menteri arah tindakan segera

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Insiden jemaah haji terkandas tidak wajar berlaku apatah lagi ia membabitkan urusan rukun Islam yang perlu dipandang berat semua pihak termasuk agensi menguruskan jemaah haji terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, beliau mengambil maklum dan kecewa dengan isu ratusan bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Hotel Movenpick, Sepang.

Menurutnya, beliau turut dimaklumkan beberapa laporan polis dibuat terhadap kejadian ini dan proses siasatan sudah dimulakan.

Katanya, beliau juga berharap siasatan terperinci dapat dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Sekiranya terdapat sebarang unsur penipuan, pihak yang terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal.

"Ia sebagai pengajaran kepada semua pihak supaya kes sedemikian tidak akan berulang di masa depan, "katanya tadi.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA sejak pagi semalam dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Dalam pada itu Idris meminta rakyat Malaysia terutamanya umat Islam perlu berwaspada dan berhati-hati dalam kes seperti ini dan sentiasa

mendapatkan nasihat tepat daripada pihak Tabung Haji (TH) walaupun menggunakan khidmat agensi luar untuk mengerjakan haji.

"Saya berharap kepada pihak yang teraniaya dan seluruh ahli keluarga yang terbabit terus tabah serta mengambil peluang pada hari Arafah untuk bermunajat dan memanjatkan doa bagi mendapatkan keredaan Allah SWT walaupun tidak dapat hadir menunaikan haji di Tanah Suci Mekah," katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2022 @ 2:27pm
d