Asia

Jemaah haji bersiap untuk melontar jamrah [METROTV]

Oleh Agensi

Arafah: Kira-kira sejuta jemaah haji bergerak ke Mina melalui Muzdalifah sebagai persiapan menyempurnakan peringkat akhir ibadah haji, selepas berkumpul dan mendengar khutbah Arafah.

Beberapa minit selepas matahari terbenam, jemaah mula bergerak ke dataran terbuka Muzdalifah untuk bersolat Maghrib dan Isyak, serta mengutip batu untuk ibadah melontar jamrah pada hari pertama Aidiladha iaitu 10 Zulhijjah, hari ini.

Ibadah itu disempurnakan sepanjang tiga Hari Tasyrik, yang mana jemaah perlu melontar tujuh batu di tiga jamrah yang melambangkan lontaran batu ke arah syaitan.

Perjalanan jemaah yang sebahagiannya dengan bas diiringi ambulans dan pihak berkuasa keselamatan memperkasa kawalan bagi memastikan aliran trafik lancar.

Sebahagian lagi jemaah berjalan sejauh 25 kilometer di laluan pejalan kaki yang menghubungkan Arafah dengan Mina melalui Muzdalifah, laluan terpanjang seumpamanya di dunia.

Disiarkan pada: July 9, 2022 @ 10:19am
d