mutakhir

57 laporan dakwaan penipuan pakej haji diterima

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis menerima 57 laporan berkaitan dakwaan penipuan pakej haji oleh dua agensi pelancongan.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, jumlah laporan itu membabitkan kerugian lebih RM2.3 juta.

"Kami menerima 57 laporan polis di lapan negeri berkaitan penipuan pakej haji oleh agensi pelancongan terbabit.

"Ia membabitkan 25 laporan di Selangor, 23 laporan di Kuala Lumpur, empat laporan di Pahang dan masing-masing satu laporan di Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Johor serta Terengganu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, jumlah kerugian paling tinggi direkodkan di Pahang iaitu RM874,000 diikuti Kuala Lumpur (RM765,500) dan Selangor (RM620,000).

"Selain itu, Terengganu dilaporkan mencatatkan kerugian RM38,000, Pulau Pinang (RM32,000), Perak (RM25,000) dan Negeri Sembilan (RM16,000)," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis menahan lima individu termasuk pemilik agensi pelancongan, semalam, yang dipercayai terbabit insiden hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di KLIA, kelmarin.

Disiarkan pada: July 9, 2022 @ 3:55pm
d