mutakhir

Jemaah haji terkandas: Reman 5 suspek disambung [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Reman lima suspek yang menyebabkan kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu, disambung sehari.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata, reman semua suspek yang tamat hari ini dilanjutkan bagi membantu siasatan.

"Kita sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

"Reman yang sepatutnya tamat hari ini disambung sehari sehingga esok," katanya ringkas di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan polis Selangor sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA.

Terdahulu, pemilik sebuah agensi pelancongan dan empat lagi individu ditahan reman tiga hari hingga hari ini.

Semua mereka terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan Sabtu lalu di beberapa lokasi sekitar ibu negara kira-kira jam 9 malam.

Lima individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.

Disiarkan pada: July 12, 2022 @ 3:48pm
d