Sukan Lain

Rakan sepasukan kedua Pogacar dijangkiti Covid-19

Oleh Reuters

Morzine, Perancis: Pelumba New Zealand, George Bennett menjadi rakan sepasukan kedua juara bertahan, Tadej Pogacar terpaksa menarik diri daripada Tour de France kerana positif Covid-19, umum pasukan UAE Emirates, hari ini.

"Isnin lalu dia menjalani ujian yang menjadi protokol pasukan dan didapati positif. Ia disahkan menerusi ujian PCR," umum UAE dalam kenyataan.

"Jadi, dia tidak berlumba hari ini," kata doktor pasukan, Adrian Rotunno.

Sabtu lalu, Vegard Stake Laengen menarik diri kerana Covid-19 yang bermakna pasukan Pogacar kini tinggal enam pelumba untuk memasuki minggu menyeksakan di Banjaran Alps.

Pogacar mendahului kedudukan keseluruhan dengan kelebihan 39 saat mengatasi pelumba Denmark, Jonas Vingegaard.

Perlumbaan peringkat ke-10 hari ini adalah laluan berbukit sejauh 148 kilometer ke Megeve.

Awal hari ini, pelumba Australia, Luke Durbridge turut menarik diri kerana positif Covid-19, umum pasukan Bike Exchange-Jayco.

Bennett adalah pelumba kelima terpaksa menarik diri kerana wabak itu sejak jelajah bermula pada 1 Julai lalu.

Disiarkan pada: July 12, 2022 @ 7:41pm
d