Kuala Lumpur: Selepas meraih tiga mata dalam aksi sulung, skuad bawah 16 (B-16) negara mahu mengulangi perkara sama apabila menentang Myanmar dalam aksi Kejuaraan B-16 AFF di Stadium Maguwoharjo, Sleman, Indonesia, malam esok.
Jurulatih, Osmera Omaro berkata, beliau menjangkakan tiada perbezaan besar dari segi permainan pasukan Myanmar dengan Kemboja yang mereka kalahkan 3-0, Selasa lalu.
"Buat masa ini, kita sudah ada sedikit maklumat mengenai Myanmar sebab mereka bermain lebih awal daripada kita.
"Kita akan buat perancangan permainan berdasarkan analisis perlawanan Myanmar menewaskan Australia 3-2 itu," katanya.
Kemenangan ke atas Myanmar sangat diperlukan anak buah Osmera untuk terus membuka peluang lebih cerah ke separuh akhir, namun tugas mereka dijangka tidak mudah apabila Myanmar mengejutkan Australia 3-2 pada aksi sebelum ini.
Beliau menjelaskan barisan kejurulatihan akan membuat analisis lebih terperinci mengenai corak permainan Myanmar berdasarkan aksi lawannya itu ketika berdepan Australia.
Skuad B-16 negara ketika ini menghuni kedudukan teratas Kumpulan C dengan mengumpul tiga mata, manakala Myanmar yang turut memiliki jumlah mata sama di kedudukan kedua.
Mereka perlu muncul juara Kumpulan C untuk mengesahkan slot automatik ke separuh akhir kerana tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan mara.