Badminton

Zii Jia tewas lagi

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia berdepan kekecewaan lagi apabila tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Jepun, hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Maruzen Intec Arena Osaka itu, Zii Jia yang diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan, tumbang di tangan pemain India, K Srikanth 20-22, 21-23.

Ia kekalahan pertama Zii Jia di tangan lawannya yang menduduki ranking ke-14 dunia itu selepas dia mengungguli dua pertemuan sebelum ini.

Kekalahan itu pastinya meneruskan kekecewaan pemain kelahiran Kedah itu selepas tersingkir pada pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo minggu lalu apabila tewas kepada pemain China, Zhao Jun Peng 19-21, 21-11, 19-21.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mara ke pusingan kedua selepas menyingkirkan rakan senegara Chan Peng Soon-Sheah Yee See 21-10 21-14.

Disiarkan pada: August 31, 2022 @ 1:10pm
d