mutakhir

229 mangsa banjir di Batu Pahat masih di PPS

Oleh Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Jumlah mangsa banjir kilat di daerah ini menurun kepada 229 orang setakat jam 4 petang ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat berkata, jumlah itu membabitkan 66 keluarga di sekitar Sri Gading.

"Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 263 mangsa terdiri daripada 74 keluarga yang dilaporkan terjejas pada jam 12 tengah hari tadi.

"Kesemua mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Sri Gading.

"Mangsa adalah penduduk Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading, Kampung Seri Tanjung dan Pekan Seri Gading," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, banjir berlaku susulan pertembungan hujan lebat bermula jam 1.30 pagi sehingga 4 pagi kelmarin dan bertembung dengan fenomena air pasang besar yang memburukkan lagi keadaan banjir di kawasan berkenaan.

"Setakat ini, hanya satu PPS yang beroperasi dan menempatkan mangsa banjir sejak 1.30 pagi kelmarin. Cuaca dilaporkan cerah setakat jam 4 petang ini," katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2022 @ 4:42pm
d