mutakhir

TMJ beri sumbangan kepada mangsa banjir

Oleh BERNAMA

Batu Pahat: Semua mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading, dekat sini, hari ini, menerima sumbangan daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penyampaian bantuan keperluan asas sebanyak 60 kotak itu disempurnakan oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) dan sukarelawan Southern Volunteers (SV).

Selain itu, mangsa banjir juga menerima bantuan sebanyak RM1,000 untuk setiap keluarga daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor, katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di daerah ini yang ditempatkan di PPS SMK Sri Gading menurun kepada 164 orang setakat 8 malam ini berbanding 194 orang yang direkodkan pada 8 pagi tadi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), dalam satu kenyataan, memaklumkan lokasi terjejas di daerah itu membabitkan Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading, Pekan Seri Gading dan Kampung Seri Tanjung.

Disiarkan pada: September 18, 2022 @ 11:18pm
d