mutakhir

Mesyuarat MT Umno Bermula

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dipercayai bagi membincangkan berkenaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula kira-kira 9 malam ini di Menara Dato Onn, di sini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selain dihadiri Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno bersama dua lagi Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Terdahulu, lima pemimpin tertinggi Umno itu mengadakan perjumpaan di sini sebelum menyertai mesyuarat khas itu.

Sejurus mesyuarat 'Top 5' itu selesai, Mohamad menerusi hantaran di Facebooknya berkata, pertemuan yang berlangsung sejak tengah hari tadi berjalan baik selain berjaya mencapai kesepakatan untuk kebaikan parti bergerak ke hadapan.

Antara ahli MT Umno yang hadir ialah Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (Ahli Parlimen Kinabatangan) dan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (Ahli Parlimen Lenggong).

Disiarkan pada: September 30, 2022 @ 10:15pm
d