mutakhir

Polis nafi kemalangan berpunca akibat dikejar URB

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Polis menafikan dakwaan kemalangan yang berlaku membabitkan dua motosikal di Jalan Perusahaan Sungai Lokan, di sini, Rabu lalu, akibat dikejar Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, terdapat video berdurasi 40 saat yang dimuatnaik di Facebook (FB) berhubung insiden itu.

Menurutnya, video berkenaan memaparkan kemalangan motosikal didakwa akibat dikejar oleh URB Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kemalangan itu berlaku pada jam 5.20 petang, Rabu lalu membabitkan dua motosikal.

"Semasa kemalangan, dua anggota URB menjalankan tugas rondaan dalam perjalanan ke Sungai Dua menghala Jalan Sungai Lokan.

"Polis menafikan anggota URB mengejar penunggang motosikal hingga menyebabkan kemalangan berlaku" katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan rakaman video itu juga jelas menunjukkan mangsa memotong motosikal URB sebelum merempuh sebuah lagi motosikal.

"Anggota URB telah memberi bantuan kepada mangsa kemalangan dan membuat kawalan trafik," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: October 16, 2022 @ 12:21pm
d