mutakhir

500 penunggang motosikal dapat petrol percuma [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Peningkatan kos sara hidup menjadi kemelut kepada warga kota khususnya bagi mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Justeru, Persatuan Komuniti Prihatin Setiawangsa tampil membantu komuniti menerusi pemberian petrol percuma kepada penunggang motosikal.

Presidennya, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, program sedemikian sudah kali kelima bagi membantu meringankan beban komuniti sekitar Setiawangsa.

Menurutnya, mereka menerima sambutan menggalakkan daripada lebih 500 penunggang motosikal untuk mendapat petrol percuma.

"Sumbangan kecil ini ternyata besar kesannya buat mereka yang terkesan khususnya ketika negara baru bangkit daripada Covid-19.

"Sambutan menggalakkan menyebabkan persatuan kembali membantu warga Setiawangsa untuk kali kelima menerusi program petrol percuma," katanya ketika ditemui, malam ini.

Turut hadir memberi sokongan, selebriti Puteri Sarah Liyana, Putera Amaris dan Tam Suhaimi.

Penduduk Setiawangsa, Aris Sharip, 23, pemberian petrol percuma dapat membantu mengurangkan walaupun untuk beberapa hari.

Katanya, inisiatif ini memberi kesan kepada masyarakat yang masih terkesan dengan masalah peningkatan kos sara hidup.

"Saya berharap ekonomi akan terus kekal pulih tahun depan dan kehidupan rakyat lebih baik dengan adanya kerajaan yang stabil," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2022 @ 11:33pm
d